Pages

Sunday, March 13, 2011

Harapan di Sebalik Al-Fatihah


Assalammualaikum warahmatullah, kepada sahabat-sahabiah yang dikasihi ALLAH S.W.T sekalian. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. kaum keluarga dan para sahabat baginda.


AL-FATIHAH


Surah Al-fatihah sering kali dibaca didalam solat wajib mahu pun solat sunat, malah ianya wajib di baca setiap kali mendirikan solat,di samping itu tahukah sahabat sekalian bahawa di sebalik surah Al-Fatihah itu ada harapan yang kita inginkan.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Wahai Tuhanku siapakah yang Engkau kasih dan siapa yang kau sayang ?

Segala pujian hanya bagi Allah Rabb sekalian alam

Kami memuji-Mu dengan semua nama milik-Mu, sebanyak kalimat dalam kitab-kitab-Mu, sebanyak makhluk yang Engkau ciptakan, sebanyak apa yang ada dilangit dan di bumi dan diantara keduanya, seberat timbangan Arasy-Mu, wahai Tuhan Yang Agung,Yang Maha Berkuasa,Yang Maha Mulia,terimalah pujian pujian kami, wahai Tuhan hidup kami,wahai Tuhan matinya kami,wahai Tuhan dunia dan akhirat.Tuhan yang Kekal Abadi.

Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Kasihi kami dengan pengampunan akan segala dosa yang terdahulu dan terkemudian,dosa yang tersembunyi dan yang terang lagi nyata. Ampuni segala dosa yang dilakukan siang dan malam, sesungguhnya kami mengaku akan segala dosa dosa dan Engkaulah yang lebih tahu akan semua dosa kesalahan kami.Wahai yang Maha Penyayang sayangilah kami dengan taufik dan hidayat-Mu, sesungguhnya kami lemah lagi hina di hadapan-Mu,sempurnakan segala urusan dunia dan akhirat kami, segala urusan hidup dan mati kami, sempurnakanlah rezeki dan syukur kami, sempurnakan kami dengan reda-Mu,kembalikan kami kepada-Mu dalam keadaan kami meredai Engakau Tuhanku dan Engkau meredai kami hamba-Mu.

Yang memiliki Hari Pembalasan

Wahai Yang Maha Adil, kami reda Engkau Tuhanku, Islam agama kami, Muhammad Nabi ikutan kami, bangkitkan kami dengan pengakuan ini seikhlasnya. Bangkitkan kami pada hari itu dengan reda-Mu bersama kami, bangkitkan kami dengan para kekasih-Mu sebelum dan selepas kami, bangkitkan kami dalam keadaan sempurna sepertimana kejadian kami di dunia, lindungilah kami dengan limpah rahmat-Mu, saat tiada lagi perlindungan selain Perlindungan-Mu. Bangkitkan kami dengan Kemuliaan-Mu, beratkan amal kebajikan timbangan Al-Mizan untuk kami. Berikanlah buku amalan dengan tangan kanan dari arah depan kami. Ya Allah, masukkan kami dalam taman-taman syurga dengan limpah kasih dan sayang-Mu.

Kepada Engkau kami berserah dan kepada Engkau kami pohon pertolongan

Kepada Engkau kami berserah mengharap pengampunan, rahmat dan pertolongan-Mu, tiada yang berlaku tanpa izin-Mu. Tetapkan dalam urusan takdir itu segala yang terbaik dari sisi-Mu,kuatkan kami menerimanya. Tabah menghadapinya. Bantulah hamba yang lemah lagi hina ini wahai Qudrat yang Maha Membantu di dunia malah di akhirat. Putuskan kami dalam golongan yang taat kepada-Mu. Dengarlah pinta kami wahai Yang Maha Mendengar, kabulkan rayuan kami wahai Pengkabul Doa.

Tunjukan kami jalan yang Lurus

Bantulah kami, tunjukan kami kebenaran akan kebenarannya, berikan kami keteguhan mengikutinya, tunjukan kami kebatilan akan kebatilanya dan berikan kami kekuatan mencegah dan melawan nafsu kami yang mudah tertarik padanya. Ya Allah, Engkau Benar, Islam agama benar, Para Nabi itu benar, syurga itu benar, neraka itu benar, bertemu dengan-Mu itu benar, lindungi kami dengan kebenaran jauhkan kami dengan kemungkaran. Masukkan kebenaran zikir di lidah kami. Masukkan kebenaran Al Quran dalam kalbu kami, masukkan kebenaran as-sunnah dalam hidup dan amalan kami. Kasihi kami dengan kebenaran-Mu , berhukum dengan hukum-Mu, mengikut kebenaran-Mu. Ya Allah tetapkan kaki kami di titian sirat. Bantu kami melintasi dengan aman. Benarkan kami melintasi dengan sepantas kilat. Benarkan kami berada bersama dengan mereka yang Engkau iktiraf kebenaran mereka. Wahai Yang Maha Benar.

Iaitu jalan yang Engkau beri nikmat

Jalan para Nabi, jalan para siddiqin, jalan para syuhada dan jalan para solehin. Kurniakan kami kefahaman agama yang Engkau beri kepada para Nabi, kurniakan kami kebenaran para siddiqin dalam kehidupan kami, kurniakan kami keberanian para syuhada mencintai mati menegakan agama-Mu di muka bumi, kurniakan kami kekuatan beribadat dan ilmu para solehin, limpahkan nikmat mu keatas kami.

Bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan jalan mereka yang sesat

Lindungilah kami dari segala macam tipu daya mereka, lindungilah kami dari kemurkaan-Mu, lindungilah kami dari kesesatan.Teguhkan pendirian kami dari mengikuti ajakan pujuk rayu mereka. Kuatkan iman kami dengan setiap tentangan mereka.Tundukan nafsu kami dengan setiap pujuk rayu mereka .Ya Rabbal Alamin selamatkan kami dari godaan mereka, godaan dan pujuk rayu syaitan dan seterunya.

Amin
Perkenanlah wahai Tuhan yang memperkenankan permintaan hamba-Nya apabila dia berdoa. Sesungguhnya hamba yang hina ini meminta minta pada-Mu seperti mana si fakir papa kedana meminta kepada Engkau yang Maha Kaya dan tidaklah berkurangan khazanah milik-Mu. Wahai Tuhan ku perkenankanlah permintaan hamba-Mu ini.

(Di petik daripada tulisan Nor Azita Idris)

Sunday, March 6, 2011

MANUSIA CIPTAAN TERBAIK


AL-MARAGHI berkata: Surah al-Tin termasuk Surah Makkiyyah. Ia terdiri daripada lapan ayat dan diturunkan selepas Surah al-Buruj. Surah ini berkait dengan surah al-Insyirah.

Surah al-Insyirah telah dijelaskan oleh Tuhan perihal makhluk Allah SWT yang paling sempurna iaitu Nabi Muhammad SAW. Berikutnya dalam surah ini Allah SWT menerangkan perihal keadaan manusia sehingga akhir saat urusan mereka dan balasan yang telah disediakan oleh Allah SWT untuk orang yang beriman kepada rasul-Nya.

Firman Allah SWT: Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun.

Ibn Kathir mengemukakan beberapa pendapat berkenaan dengan tin antaranya:

* Masjid Damsyik.

* Gunung-ganang dan bukit di sekelilingnya.

* Al-Qurtubi berpendapat: Masjid Ashab al-Kahfi.

* Ibn Abbas r.a berpendapat Masjid Nuh yang berada di puncak gunung Judiy.

Ustaz Muhammad Abduh berpendapat, al-Tin adalah nama pokok tempat Nabi Adam a.s bernaung di syurga. Sedangkan al-Zaitun pula dikatakan Masjid Baitu al-Maqdis dan buah zaitun.

Al-Maraghi berkata: Tin dan zaitun mengingatkan kewujudan kedua-dua masa ini iaitu Nabi Adam a.s sebagai bapa manusia yang pertama dan Nabi Nuh a.s sebagai bapa manusia yang kedua.

Firman Allah SWT: Dan demi bukit Sina. Iaitu bukit Tursina atau gunung Sinai.

Al-Alusi berkata: Ia merupakan tempat Allah berkata-kata dengan Nabi Musa a.s tanpa khilaf lagi ia bukit di negeri Syam tetapi yang ma’ruf pada masa kini adalah satu kawasan antara Mesir dan Aqabah.

Firman Allah SWT: Dan demi kota (Mekah) ini yang aman.

Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan, Ibrahim al-Nakhaie, Ibn Zaid dan Ka’ab al-Akhbar berpendapat ia kota Mekah.

Ibn Kathir berkata: Sebahagian ulama berpendapat: Tiga tempat ini dimuliakan Allah di mana Allah bangkitkan setiap satunya Rasul yang diutuskan di kalangan ulul al-Azmi.

Pertama: Tempat tin dan zaitun di Baitu al-Maqdis yang diutuskan Nabi Isa bin Maryam.

Kedua: Tursina di mana Allah SWT berbicara dengan Nabi Musa a.s.

Ketiga: Mekah yang Allah SWT utuskan Muhammad SAW.

Berdasarkan kenyataan di bawah, jelas menunjukkan permulaannya di tempat yang mulia kemudian lebih mulia dan yang terakhir paling mulia. Yang mana Allah menceritakan berdasarkan tertib, kewujudan mereka secara kronologi.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.

Ibn Kathir berkata: Allah SWT ciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk kejadian, ketinggian dan keindahannya.

Al-Maraghi berkata: Kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang paling baik. Kami jadikan manusia bersifat tegap, bertulang tumit indah, mampu mencapai maksud yang diinginkannya dengan tangannya, tidak seperti haiwan yang memungut sesuatu dengan mulutnya.

Allah SWT mengurniakan keistimewaan akal kepada manusia, kebolehan membezakan serta kesanggupan menerima ilmu yang pelbagai jenis. Begitu juga mereka mampu membuat gagasan yang menjadikannya mampu menguasai alam wujud, di samping itu mereka yang mempunyai kemampuan dan jangkauan memperoleh apa yang diingini.

Firman Allah SWT: Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.

Syed Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: Apabila ia menyeleweng dengan fitrahnya dari garis lurus yang ditunjukkan Allah dan setelah diberi penjelasan dan kebebasan agar ia memilih salah satu dari dua jalan.

Merekalah golongan manusia yang kekal di atas fitrahnya yang lurus, kemudian mereka lengkapkan pula fitrah mereka dengan iman dan amal soleh dan terus meningkat ke darjat yang sempurna yang diperuntukkan kepada mereka sehingga berakhir dengan kehidupan yang sempurna di negeri akhirat, negeri yang sempurna.

Firman Allah SWT: Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu?

Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut dua pendapat:

1. Apakah yang menyebabkan kamu berdusta hai manusia selepas hujah ini berkaitan pembalasan. Ini adalah ancaman kepada orang kafir seperti yang disebut oleh Muqatil.

2. Siapa yang mampu dalam pendustaanmu dengan pahala dan balasan selepas nyata Allah mencipta manusia. Inilah pendapat al-Farra’.

Firman Allah SWT: Bukankah Allah hakim yang seadil-adilnya?

Syed Qutub berkata: Tidakkah Allah itu Pengadil Yang Maha Adil apabila Dia menetapkan hukuman-hukuman seperti ini? Atau tidakkah hikmat kebijaksanaan Allah mencapai matlamatnya dalam hukuman yang telah ditetapkan terhadap orang mukmin dan bukan mukmin.

Penutup

Al-Maraghi berkata: Allah SWT itu paling bijaksana mencipta dan mengatur. Oleh sebab itu, Allah SWT menetapkan wujudnya pembalasan amal bagi umat manusia.

Tujuan pembalasan ini supaya manusia tetap kekal pada martabatnya yang mulia menurut fitrah semulajadi mereka. Akan tetapi manusia telah menjatuhkan diri mereka ke martabat yang paling hina, lantaran kebodohan dan pengaturan yang salah.

Justeru, Allah SWT mengirimkan para rasul kepada manusia untuk memberi khabar gembira (petunjuk) dan menyampaikan ancaman. Para rasul ini diberi syariat untuk dijelaskan kepada manusia dan mengajak mereka ke jalan Allah SWT sebagai bukti sifat pemurah Allah SWT kepada manusia.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Wednesday, February 23, 2011

Aurat Ipar dengan Ipar


Soalan:

Bagaimanakah aurat diantara abang ipar dan adik ipar?

Jawapan:

Hubungan abang ipar dengan adik ipar hendaklah dijaga sesuai dengan tuntutan Islam, kerana hubungan keduanya tidak boleh kahwin hanya bersifat sementara. Jika abang ipar tersebut bercerai dengan isterinya maka ia boleh kahwin dengan adik iparnya tersebut. Jadi jelaslah keduanya bukan muhrim dan perlu menjaga batas-batas aurat yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada disebutkan; dari Uqbah bin Amir katanya; Rasulullah SAW sesungguhnya telah bersabda: "Jauhilah olehmu sekalian masuk ke tempat para wanita". Lalu seorang sahabat Anshar bertanya: "Bagaimana pendapat baginda tentang ipar?'. Rasulullah SAW menjawab: "Ipar itu maut". (Riwayat Nasai)

Dengan hadis yang diterangkan Rasulullah ini jelaslah bahawa hubungan antara ipar ini perlu dijaga dengan sebaik-baiknya agar tidak melebihi batas-batas yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW, kerana maut yang diungkapkan Rasulullah dalam hadisnya tersebut merupakan fitnah yang sangat besar, jika kita mengabaikannya.

Moga sama-sama beroleh manafaat, Wallahua'alam.


Wednesday, February 16, 2011

Susahnya menjaga HATI!

Susahnya menjaga hati
Sedangkan ia adalah pandangan Tuhan
Ia merupakan wadah
Rebutan di antara malaikat dan syaitan

Masing-masing ingin mengisi
Malaikat dengan hidayah
Syaitan dengan kekufuran
Bila tiada hidayah, ilmupun tidak menjamin sekalipun ia perlu

Susahnya menjaga hati
Bila dipuji ia berbunga
Terasa luar biasa
Bila dicaci aduh sakitnya

Pencaci dibenci
Bahkan berdendam sampai mati
Bila berilmu atau kaya
Sombong mengisi dada

Jika miskin atau kurang ilmu
Rendah diri pula dengan manusia
Adakalanya kecewa
Kemuncaknya putus asa

Takdir yang menimpa susah untuk redha
Ujian yang datang sabar tiada
Jiwa menderita
Kelebihan orang lain hati terseksa

Kesusahan orang lain, hati menghina
Bahkan terhibur pula
Menegur orang suka, ditegur hati luka
Aduh susahnya menjaga hati

Patutlah ia dikatakan raja diri
Bukankan sifat sombong pakaian raja?!

Saturday, February 12, 2011

Mubarak Tumbang


PENUNJUK perasaan di Dataran Tahrir, Kaherah menunjuk kasut kerana marah Mubarak enggan letak jawatan, semalam.

Akur kehendak rakyat lepaskan jawatan; Tentera ambil alih pentadbiran kerajaan; Bekas Presiden lari ke Sharm el-Sheikh bersama keluarga

KAHERAH: Selepas 18 hari tunjuk perasaan besar-besaran rakyat menuntut Presiden Mesir, Hosni Mubarak berundur, beliau akhirnya akur dan melepaskan jawatannya, malam tadi.

Beliau menyerahkan urusan negara ke tangan tentera selepas melarikan diri bersama keluarga ke Sharm el-Sheikh ketika protes rakyat memuncak selepas solat Jumaat semalam dengan sejuta penduduk melakukan bantahan di depan istana presiden dan jabatan kerajaan.

Pengumuman yang dibuat oleh Naib Presiden, Omar Suleiman di televisyen secara langsung disambut dengan gegak-gempita suara dan laungan gembira penunjuk perasaan di Dataran Tahrir dan seluruh Mesir.

Penunjuk perasaan mengibarkan bendera, bersorak dan berpelukan selain ada yang menitiskan air mata di Dataran Tahrir serta melaungkan ‘Allahu Akbar’ sebaik mendengar pengumuman itu.

Ramai juga yang melaungkan ‘rakyat menumbangkan rejim (Mubarak).’

Pengumuman itu menyusuli laporan bahawa Setiausaha Agung Parti Demokratik Kebangsaan (NDP), Hossam Badrawi, meletakkan jawatan selepas hanya enam hari memegang jawatan itu.

Sementara itu, Reuters melaporkan Menteri Pertahanan, Mohamed Hussein Tantawi mengetuai Majlis Tertinggi Tentera yang mengambil alih pentadbiran Mesir selepas peletakan jawatan Mubarak.

Terdahulu, stesen televisyen Al Arabiya melaporkan Mubarak dan keluarga meninggalkan Kaherah menaiki pesawat di pangkalan tentera di pinggir ibu negara untuk menuju ke Sharm el-Sheikh.

Ribuan penunjuk perasaan memenuhi Medan Tahrir selepas solat Jumaat semalam dalam perhimpunan terbesar sejak tunjuk perasaan tercetus di negara itu.

Berita Harian dimaklumkan tunjuk perasaan turut diadakan di Iskandariah, Mansurah, Damanhur, Suez, Dumyat, Mahala, Tanta, Ismailia dan Kafr Sheikh.

Yaumul Rahil pada Jumaat kedua yang diadakan untuk menuntut Mubarak meletak jawatan itu, diadakan selepas pemimpin Mesir selama 30 tahun terbabit menegaskan untuk tidak berundur, sebaliknya hanya menyerahkan kuasa kepada Sulaiman.

Ekoran itu, penunjuk perasaan yang berhimpun sejak awal pagi semalam, mengadakan tunjuk perasaan dengan mendesak kedua-dua Mubarak dan Omar meletakkan jawatan.

Malah, penunjuk perasaan juga berhimpun di depan Istana Ittihadiya dengan hanya kawat berduri memisahkan mereka dengan tentera yang mengawal Istana Presiden.

Sebelum ini, ribuan penunjuk perasaan yang marah keengganan Mubarak berundur mengangkat kasut masing-masing depan skrin besar sebagai tanda bantahan.

Sumber; Berita Harian 12 Februari 2011.

Wednesday, December 29, 2010

Ilal Liqo' wa Ma'assalamah

Gambar hiasan

Salam warahmatullah buat sahabat- sahabatku sekalian..

Masa berlalu begitu tangkas meninggalkan kita semua, betullah apa yang pernah di ungkapkan oleh tokoh ulama' mazhab Syafi'ie yang tersohor. Imam Al-Ghazali kepada anak-anak muridnya bahawa masa yang berlalu adalah perkara yang paling jauh sekali di dalam kehidupan kita ini.

3 tahun serasa macam 3 hari sahaja bagi diri ini, sungguh banyak kenangan manis, masin, pahit, payau dan tawar di harungi bersama-sama. Di tambah pula dengan saat-saat ketawa riang, menangis, senang hati, rasa gundah, marah dan lain-lain yang bisa membuat diri ini belajar dan memahami erti sebenar apa itu sebuah persahabatan yang diikat berdasarkan perjuangan agama ALLAH TA'ALA. Marilah sama-sama kita hayati hadis di bawah;

Dari Abu Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Seseorang itu atas agama (perjalanan) sahabatnya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa harus di pilih menjadi sahabat."
(Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tarmizi dan al-Hakim)

Sekian,Wallahu'alam.

Sulaman Mahabbah Julangkan Fikrah

Our Memories in Penang Slideshow: AmboPic’s trip to Bukit Mertajam (near Butterworth), Pinang, Malaysia was created by TripAdvisor. See another Butterworth slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.