Pages

Friday, March 25, 2011

Fitnah Akhir Zaman

Assalammualaikum warahmatullah, kepada sahabat-sahabiah yang dikasihi ALLAH S.W.T sekalian. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. kaum keluarga dan para sahabat baginda.

SESUNGGUHNYA FITNAH merupakan satu elemen yang cukup bahaya, apatah lagi fitnah terhadap agama yang boleh menjurus kepada hukum membunuh, kerana Al-Quran ada menegaskan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sedangkan fitnah (penganiayaan, menindas Islam dan kaum muslimin) lebih kejam daripada pembunuhan"
(Surah al-Baqarah ayat 217)

Dalam ayat yang lain firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan fitnah (menimbulkan kekacuan seperti mengusir sahabat dari kampung halaman, merampas harta, menyakiti dan menganggu kebebasan seseorang beragama) itu lebih kejam daripada pembunuhan."
(Surah al-Baqarah ayat 191)



Baginda Rasulullah S.A.W. pernah menegaskan dalam salah satu hadisnya yang bermaksud: "Bersegeralah lakukan amalan-amalan yang baik-baik (jika ia pada waktu siang jangan tunggu hingga menjelang malam yang gelap gelita), kerana ia akan menimbulkan fitnah. Ia seperti seorang lelaki di mana pada waktu pagi dia seorang Muslim dan apabila menjelang petang atau malam dia menjadi seorang kafir pula, dia menjual agama kerana kepentingan dunia yang terlalu sedikit." (Hadis Sahih riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tirmizi daripadaAbu Hurairah)


Apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah S.A.W. menerusi hadis di atas ialahterdapat orang Islam sendiri yang melakukan fitnah dengan tindakannya terhadap agamanya sendiri semata-mata mengecapi habuan dan janji dunia yang bersifat sementara.
Sedangkan fitnah yang dilakukannya benar-benar mencabar agama yang dianutinya dan menjadi bahaya kepada pegangan akidah dan kepercayaan kepada Allah SWT selaku Pencipta alam maya ini.

Fitnah yang terjadi itu boleh berlaku kerana orang yang terlibat itu sama ada benar-benar tidak memahami atau memiliki ilmu-ilmu fardu ain ataupun kerana berhasrat meraih kepentingan dengan penampilan agama, atau memang di kalangan orang-orang munafik.Ketiga-tiga kategori manusia itu dianggap golongan yang jahat kerana mahu memburukkan Islam.

Jenis-jenis fitnah terhadap agama Islam :

1. Fitnah melalui kepimpinan negara.

2. Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.

3. Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.

4. Fitnah melalui ungkapan.

5. Fitnah melalui penulisan.

6. Fitnah melalui iklan produk.

7. Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.

8. Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.

9. Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.

10. Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia.

Fitnah melalui kepimpinan negara


Terdapat para pemimpin negara-negara umat Islam, yang tidak segan silu untuk mengisytiharkan bahawa mereka telah melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara dan boleh dikatakan negara mereka adalah sebuah Negara Islam. Pada hal pada masa memerintah mereka mentadbir dengan sistem Sekular, Kapitalis, Sosialis dan lain-lain. Ada pula yang tidak menampakkan Islam secara jelas,
isteri-isteri mereka tidak memakai hijab (tudung kepala) serta menutup aurat dengan sempurna, tidakkah tindakan mereka itu telah memfitnah Islam secara langsung di hadapan orang-orang bukan Islam yang keliru dan terus keliru.


Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan


Tidak kurang juga terdapat golongan ahli ilmu agama ketika sedang menuntut satu ketika dahulu, telah menanam hasrat untuk lulus cemerlang agar pulang nanti ditawarkan jawatan yang selesa. Tetapi pada masa yang sama mereka lupa bahawa ketika menyandang jawatan penting di jabatan keagamaan, mereka tidak menjalankan tugas dengan sempurna, membiarkan perkara mungkar terus berlaku (takut nak tegur kerana bimbang tidak dinaikkan pangkat atau ditukar ke jabatan lain).

Tidak cukup dengan itu, idea untuk menyatakan perkara-perkara makruf agar jadi program utama pun terkadang-kadang tidak berani untuk dilakukan, bimbang dilabel golongan yang melawan pihak atasan, akhirnya masyarakat jadi keliru kerana golongan ahli agama pun bercakap tidak serupa bikin.


Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian


Disebabkan kerana kurang pendedahan maklumat agama, sama ada tidak mahu duduk dalam majlis ilmu agama atau ceramah, maka ramai dikalangan orang Islam ini memperlihatkan penampilan diri mereka benar-benar tidak Islamik langsung.

Ada di kalangan golongan remaja Islam yang bertatu, menampakkan pusat (perempuan), bergelang tangan, berantai dan bertindik (yang lelaki), mencukur bulu kening, memakai rambut palsu, yang perempuan menyerupai lelaki atau yang lelaki menyerupai perempuan.

Cara bercakap seperti orang bukan Islam, berlepak, merempit tanpa hala tuju hidup, mendurhaka dan melukai perasaan kepada ibu bapa, menyakiti jiran dan banyak, tidakkah semua tindakan itu fitnah terhadap Islam, kerana Islam tidak pernah mengajar penganutnya berbuat demikian.


Fitnah melalui ungkapan


Terdapat di kalangan orang Islam yang memfitnah Islam dengan ungkapan mereka seperti kata-kata: Islam tidak relevan pada zaman orang mengejar Sains dan Teknologi, undang-undang Islam seperti hudud, qisas,takzir dan lain-lain sudah tidak sesuai pada hari ini, ia hanya boleh dilaksanakan di padang pasir pada zaman Rasulullah S.A.W.


Fitnah melalui penulisan


Terdapat juga segelintir penulis yang pro-aliran songsang yang memperlekeh hukum-hukum Islam dalam blog, rencana atau buku-buku tulisan mereka, ia disifatkan sebagai satu tindakan berani kerana mereka tahu bahawa tindakan itu tidak akan dikenakan apa-apa.


Fitnah melalui iklan produk


Satu lagi fitnah yang tidak dapat dikawal akibat kelemahan para pemimpin negara ialah kecenderung syarikat-syarikat mempromosi produk mereka dengan menggunakan khidmat model-model Melayu/Islam, ada yang mendedahkan aurat, kepala semata-mata untuk menunjukkan bahawa produk mereka cukup berkesan tiada tompok-tompok hitam di badan model.


Fitnah melalui penglibatan dalam sukan, hiburan


Para atlet negara termasuk yang angkat berat disertai atlet muslimah yang cukup menggiurkan ketika menunjukkan aksi mengangkat berat, termasuk dalam sukan jimrama, renang, hoki dan lain-lain.

Begitu juga pendedahan aurat di kalangan penghibur seperti
penyanyi, pelakon, pelawak wanita juga tidak kurang yang memakai pakaian yang tidak sesuai dengan jenama mereka sebagai orang Islam. Semua itu dianggap memfitnah Islam kerana menggambarkan seolah-olah Islam membenarkan tindakan itu.


Fitnah berbangga kerana memperbanyakkan masjid


Satu lagi fitnah pada akhir zaman ini ialah terlalu berbangga dengan bilangan masjid yang banyak, tetapi kosong dengan jemaah dan pengajian agama, malah terdapat pula replika masjid yang menelan belanja jutaan ringgit tetapi tidak boleh solat Jumaat di dalamnya.


Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat


Ramai di kalangan pekerja Islam, bukan yang menceburi bidang binaan, yang bekerja dalam bilik berhawa dingin pun tidak melakukan solat fardu atau Jumaat. Terdapat senario di mana ada pekerja muslim disebuah kilang ditegur majikan yang bukan Islam mengapa mereka tidak pergi menunaikan solat Jumaat.


Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam


Disebabkan tidak menguasai dengan baik ilmu-ilmu fardu ain, maka ramai di kalangan individu Islam tidak bercakap benar, melakukan pecah amanah berjuta-juta ringgit, rasuah, penipuan, menggelapkan wang dan sebagainya, menunjukkan sikap dan akhlak orang Islam sangat kritikal, sekali gus ia memfitnah agama Islam yang suci.


Sesungguhnya mereka itu semua berdosa di hadapan Allah kerana tidak menunjukkan sesuatu tindakan yang baik terutama kepada golongan yang lebih muda ataupun di kalangan bukan Islam yang berpandangan Islam menjana kegiatan yang tidak bermoral.


Justeru, asas kepada pengukuhan jati diri muslim bersama agama Islam dalam apa jua keadaan, sama ada ketika Islam berada di puncak atau sedang berada di bawah, namun dia tidak akan berganjak walau setapak pun kerana begitu yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui benar di sisi Allah SWT.

Manusia suka memfitnah kerana :


1. Hendak berjaya dalam pekerjaan. Contohnya seseorang memfitnah pegawai lain semata-mata inginkan naik pangkat dan sebagainya.

2. Memburukkan peribadi orang lain. Ini dilakukan kerana hendak menunjukkan diri betul atau mempunyai kepentingan tertentu.

3. Tujuan tertentu. Contohnya inginkan sesuatu seperti teman wanita atau tunang orang. Lelaki tersebut memfitnah tunang wanita tersebut demi mendapatkan wanita tersebut.

4. Ingin glamour. Ada juga yang suka memfitnah kerana inginkan nama, kedudukan, status dan sebaginya.

5. Suka-suka. Ada juga yg memfitnah kerana suka-suka.

6. Ahli neraka. Dalam hadis sahih jelas dinyatakan tempat seseorang ke syurga atau neraka ketika ia masih dalam rahim ibunya. Mungkin golongan suka memfitnah ini memang menunjukkan ciri2 ahli neraka.. Ia menunjukkan jika kita suka memfitnah, ia tanda kita ahli neraka. Na'uzubillah...

Wallahua'lam.

From; http://biaqpila.blogspot.com/2011/03/kenali-10-jenis-fitnah.html#ixzz1HHUzZ0St

(Di petik daripada tulisan Ramli Joned)

Sunday, March 13, 2011

Harapan di Sebalik Al-Fatihah


Assalammualaikum warahmatullah, kepada sahabat-sahabiah yang dikasihi ALLAH S.W.T sekalian. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. kaum keluarga dan para sahabat baginda.


AL-FATIHAH


Surah Al-fatihah sering kali dibaca didalam solat wajib mahu pun solat sunat, malah ianya wajib di baca setiap kali mendirikan solat,di samping itu tahukah sahabat sekalian bahawa di sebalik surah Al-Fatihah itu ada harapan yang kita inginkan.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Wahai Tuhanku siapakah yang Engkau kasih dan siapa yang kau sayang ?

Segala pujian hanya bagi Allah Rabb sekalian alam

Kami memuji-Mu dengan semua nama milik-Mu, sebanyak kalimat dalam kitab-kitab-Mu, sebanyak makhluk yang Engkau ciptakan, sebanyak apa yang ada dilangit dan di bumi dan diantara keduanya, seberat timbangan Arasy-Mu, wahai Tuhan Yang Agung,Yang Maha Berkuasa,Yang Maha Mulia,terimalah pujian pujian kami, wahai Tuhan hidup kami,wahai Tuhan matinya kami,wahai Tuhan dunia dan akhirat.Tuhan yang Kekal Abadi.

Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Kasihi kami dengan pengampunan akan segala dosa yang terdahulu dan terkemudian,dosa yang tersembunyi dan yang terang lagi nyata. Ampuni segala dosa yang dilakukan siang dan malam, sesungguhnya kami mengaku akan segala dosa dosa dan Engkaulah yang lebih tahu akan semua dosa kesalahan kami.Wahai yang Maha Penyayang sayangilah kami dengan taufik dan hidayat-Mu, sesungguhnya kami lemah lagi hina di hadapan-Mu,sempurnakan segala urusan dunia dan akhirat kami, segala urusan hidup dan mati kami, sempurnakanlah rezeki dan syukur kami, sempurnakan kami dengan reda-Mu,kembalikan kami kepada-Mu dalam keadaan kami meredai Engakau Tuhanku dan Engkau meredai kami hamba-Mu.

Yang memiliki Hari Pembalasan

Wahai Yang Maha Adil, kami reda Engkau Tuhanku, Islam agama kami, Muhammad Nabi ikutan kami, bangkitkan kami dengan pengakuan ini seikhlasnya. Bangkitkan kami pada hari itu dengan reda-Mu bersama kami, bangkitkan kami dengan para kekasih-Mu sebelum dan selepas kami, bangkitkan kami dalam keadaan sempurna sepertimana kejadian kami di dunia, lindungilah kami dengan limpah rahmat-Mu, saat tiada lagi perlindungan selain Perlindungan-Mu. Bangkitkan kami dengan Kemuliaan-Mu, beratkan amal kebajikan timbangan Al-Mizan untuk kami. Berikanlah buku amalan dengan tangan kanan dari arah depan kami. Ya Allah, masukkan kami dalam taman-taman syurga dengan limpah kasih dan sayang-Mu.

Kepada Engkau kami berserah dan kepada Engkau kami pohon pertolongan

Kepada Engkau kami berserah mengharap pengampunan, rahmat dan pertolongan-Mu, tiada yang berlaku tanpa izin-Mu. Tetapkan dalam urusan takdir itu segala yang terbaik dari sisi-Mu,kuatkan kami menerimanya. Tabah menghadapinya. Bantulah hamba yang lemah lagi hina ini wahai Qudrat yang Maha Membantu di dunia malah di akhirat. Putuskan kami dalam golongan yang taat kepada-Mu. Dengarlah pinta kami wahai Yang Maha Mendengar, kabulkan rayuan kami wahai Pengkabul Doa.

Tunjukan kami jalan yang Lurus

Bantulah kami, tunjukan kami kebenaran akan kebenarannya, berikan kami keteguhan mengikutinya, tunjukan kami kebatilan akan kebatilanya dan berikan kami kekuatan mencegah dan melawan nafsu kami yang mudah tertarik padanya. Ya Allah, Engkau Benar, Islam agama benar, Para Nabi itu benar, syurga itu benar, neraka itu benar, bertemu dengan-Mu itu benar, lindungi kami dengan kebenaran jauhkan kami dengan kemungkaran. Masukkan kebenaran zikir di lidah kami. Masukkan kebenaran Al Quran dalam kalbu kami, masukkan kebenaran as-sunnah dalam hidup dan amalan kami. Kasihi kami dengan kebenaran-Mu , berhukum dengan hukum-Mu, mengikut kebenaran-Mu. Ya Allah tetapkan kaki kami di titian sirat. Bantu kami melintasi dengan aman. Benarkan kami melintasi dengan sepantas kilat. Benarkan kami berada bersama dengan mereka yang Engkau iktiraf kebenaran mereka. Wahai Yang Maha Benar.

Iaitu jalan yang Engkau beri nikmat

Jalan para Nabi, jalan para siddiqin, jalan para syuhada dan jalan para solehin. Kurniakan kami kefahaman agama yang Engkau beri kepada para Nabi, kurniakan kami kebenaran para siddiqin dalam kehidupan kami, kurniakan kami keberanian para syuhada mencintai mati menegakan agama-Mu di muka bumi, kurniakan kami kekuatan beribadat dan ilmu para solehin, limpahkan nikmat mu keatas kami.

Bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan jalan mereka yang sesat

Lindungilah kami dari segala macam tipu daya mereka, lindungilah kami dari kemurkaan-Mu, lindungilah kami dari kesesatan.Teguhkan pendirian kami dari mengikuti ajakan pujuk rayu mereka. Kuatkan iman kami dengan setiap tentangan mereka.Tundukan nafsu kami dengan setiap pujuk rayu mereka .Ya Rabbal Alamin selamatkan kami dari godaan mereka, godaan dan pujuk rayu syaitan dan seterunya.

Amin
Perkenanlah wahai Tuhan yang memperkenankan permintaan hamba-Nya apabila dia berdoa. Sesungguhnya hamba yang hina ini meminta minta pada-Mu seperti mana si fakir papa kedana meminta kepada Engkau yang Maha Kaya dan tidaklah berkurangan khazanah milik-Mu. Wahai Tuhan ku perkenankanlah permintaan hamba-Mu ini.

(Di petik daripada tulisan Nor Azita Idris)

Sunday, March 6, 2011

MANUSIA CIPTAAN TERBAIK


AL-MARAGHI berkata: Surah al-Tin termasuk Surah Makkiyyah. Ia terdiri daripada lapan ayat dan diturunkan selepas Surah al-Buruj. Surah ini berkait dengan surah al-Insyirah.

Surah al-Insyirah telah dijelaskan oleh Tuhan perihal makhluk Allah SWT yang paling sempurna iaitu Nabi Muhammad SAW. Berikutnya dalam surah ini Allah SWT menerangkan perihal keadaan manusia sehingga akhir saat urusan mereka dan balasan yang telah disediakan oleh Allah SWT untuk orang yang beriman kepada rasul-Nya.

Firman Allah SWT: Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun.

Ibn Kathir mengemukakan beberapa pendapat berkenaan dengan tin antaranya:

* Masjid Damsyik.

* Gunung-ganang dan bukit di sekelilingnya.

* Al-Qurtubi berpendapat: Masjid Ashab al-Kahfi.

* Ibn Abbas r.a berpendapat Masjid Nuh yang berada di puncak gunung Judiy.

Ustaz Muhammad Abduh berpendapat, al-Tin adalah nama pokok tempat Nabi Adam a.s bernaung di syurga. Sedangkan al-Zaitun pula dikatakan Masjid Baitu al-Maqdis dan buah zaitun.

Al-Maraghi berkata: Tin dan zaitun mengingatkan kewujudan kedua-dua masa ini iaitu Nabi Adam a.s sebagai bapa manusia yang pertama dan Nabi Nuh a.s sebagai bapa manusia yang kedua.

Firman Allah SWT: Dan demi bukit Sina. Iaitu bukit Tursina atau gunung Sinai.

Al-Alusi berkata: Ia merupakan tempat Allah berkata-kata dengan Nabi Musa a.s tanpa khilaf lagi ia bukit di negeri Syam tetapi yang ma’ruf pada masa kini adalah satu kawasan antara Mesir dan Aqabah.

Firman Allah SWT: Dan demi kota (Mekah) ini yang aman.

Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan, Ibrahim al-Nakhaie, Ibn Zaid dan Ka’ab al-Akhbar berpendapat ia kota Mekah.

Ibn Kathir berkata: Sebahagian ulama berpendapat: Tiga tempat ini dimuliakan Allah di mana Allah bangkitkan setiap satunya Rasul yang diutuskan di kalangan ulul al-Azmi.

Pertama: Tempat tin dan zaitun di Baitu al-Maqdis yang diutuskan Nabi Isa bin Maryam.

Kedua: Tursina di mana Allah SWT berbicara dengan Nabi Musa a.s.

Ketiga: Mekah yang Allah SWT utuskan Muhammad SAW.

Berdasarkan kenyataan di bawah, jelas menunjukkan permulaannya di tempat yang mulia kemudian lebih mulia dan yang terakhir paling mulia. Yang mana Allah menceritakan berdasarkan tertib, kewujudan mereka secara kronologi.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.

Ibn Kathir berkata: Allah SWT ciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk kejadian, ketinggian dan keindahannya.

Al-Maraghi berkata: Kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang paling baik. Kami jadikan manusia bersifat tegap, bertulang tumit indah, mampu mencapai maksud yang diinginkannya dengan tangannya, tidak seperti haiwan yang memungut sesuatu dengan mulutnya.

Allah SWT mengurniakan keistimewaan akal kepada manusia, kebolehan membezakan serta kesanggupan menerima ilmu yang pelbagai jenis. Begitu juga mereka mampu membuat gagasan yang menjadikannya mampu menguasai alam wujud, di samping itu mereka yang mempunyai kemampuan dan jangkauan memperoleh apa yang diingini.

Firman Allah SWT: Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.

Syed Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: Apabila ia menyeleweng dengan fitrahnya dari garis lurus yang ditunjukkan Allah dan setelah diberi penjelasan dan kebebasan agar ia memilih salah satu dari dua jalan.

Merekalah golongan manusia yang kekal di atas fitrahnya yang lurus, kemudian mereka lengkapkan pula fitrah mereka dengan iman dan amal soleh dan terus meningkat ke darjat yang sempurna yang diperuntukkan kepada mereka sehingga berakhir dengan kehidupan yang sempurna di negeri akhirat, negeri yang sempurna.

Firman Allah SWT: Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu?

Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut dua pendapat:

1. Apakah yang menyebabkan kamu berdusta hai manusia selepas hujah ini berkaitan pembalasan. Ini adalah ancaman kepada orang kafir seperti yang disebut oleh Muqatil.

2. Siapa yang mampu dalam pendustaanmu dengan pahala dan balasan selepas nyata Allah mencipta manusia. Inilah pendapat al-Farra’.

Firman Allah SWT: Bukankah Allah hakim yang seadil-adilnya?

Syed Qutub berkata: Tidakkah Allah itu Pengadil Yang Maha Adil apabila Dia menetapkan hukuman-hukuman seperti ini? Atau tidakkah hikmat kebijaksanaan Allah mencapai matlamatnya dalam hukuman yang telah ditetapkan terhadap orang mukmin dan bukan mukmin.

Penutup

Al-Maraghi berkata: Allah SWT itu paling bijaksana mencipta dan mengatur. Oleh sebab itu, Allah SWT menetapkan wujudnya pembalasan amal bagi umat manusia.

Tujuan pembalasan ini supaya manusia tetap kekal pada martabatnya yang mulia menurut fitrah semulajadi mereka. Akan tetapi manusia telah menjatuhkan diri mereka ke martabat yang paling hina, lantaran kebodohan dan pengaturan yang salah.

Justeru, Allah SWT mengirimkan para rasul kepada manusia untuk memberi khabar gembira (petunjuk) dan menyampaikan ancaman. Para rasul ini diberi syariat untuk dijelaskan kepada manusia dan mengajak mereka ke jalan Allah SWT sebagai bukti sifat pemurah Allah SWT kepada manusia.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sulaman Mahabbah Julangkan Fikrah

Our Memories in Penang Slideshow: AmboPic’s trip to Bukit Mertajam (near Butterworth), Pinang, Malaysia was created by TripAdvisor. See another Butterworth slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.