PENUNJUK perasaan di Dataran Tahrir, Kaherah menunjuk kasut kerana marah Mubarak enggan letak jawatan, semalam.
Akur kehendak rakyat lepaskan jawatan; Tentera ambil alih pentadbiran kerajaan; Bekas Presiden lari ke Sharm el-Sheikh bersama keluarga
KAHERAH: Selepas 18 hari tunjuk perasaan besar-besaran rakyat menuntut Presiden Mesir, Hosni Mubarak berundur, beliau akhirnya akur dan melepaskan jawatannya, malam tadi.
Beliau menyerahkan urusan negara ke tangan tentera selepas melarikan diri bersama keluarga ke Sharm el-Sheikh ketika protes rakyat memuncak selepas solat Jumaat semalam dengan sejuta penduduk melakukan bantahan di depan istana presiden dan jabatan kerajaan.
Pengumuman yang dibuat oleh Naib Presiden, Omar Suleiman di televisyen secara langsung disambut dengan gegak-gempita suara dan laungan gembira penunjuk perasaan di Dataran Tahrir dan seluruh Mesir.
Penunjuk perasaan mengibarkan bendera, bersorak dan berpelukan selain ada yang menitiskan air mata di Dataran Tahrir serta melaungkan ‘Allahu Akbar’ sebaik mendengar pengumuman itu.
Ramai juga yang melaungkan ‘rakyat menumbangkan rejim (Mubarak).’
Pengumuman itu menyusuli laporan bahawa Setiausaha Agung Parti Demokratik Kebangsaan (NDP), Hossam Badrawi, meletakkan jawatan selepas hanya enam hari memegang jawatan itu.
Sementara itu, Reuters melaporkan Menteri Pertahanan, Mohamed Hussein Tantawi mengetuai Majlis Tertinggi Tentera yang mengambil alih pentadbiran Mesir selepas peletakan jawatan Mubarak.
Terdahulu, stesen televisyen Al Arabiya melaporkan Mubarak dan keluarga meninggalkan Kaherah menaiki pesawat di pangkalan tentera di pinggir ibu negara untuk menuju ke Sharm el-Sheikh.
Ribuan penunjuk perasaan memenuhi Medan Tahrir selepas solat Jumaat semalam dalam perhimpunan terbesar sejak tunjuk perasaan tercetus di negara itu.
Berita Harian dimaklumkan tunjuk perasaan turut diadakan di Iskandariah, Mansurah, Damanhur, Suez, Dumyat, Mahala, Tanta, Ismailia dan Kafr Sheikh.
Yaumul Rahil pada Jumaat kedua yang diadakan untuk menuntut Mubarak meletak jawatan itu, diadakan selepas pemimpin Mesir selama 30 tahun terbabit menegaskan untuk tidak berundur, sebaliknya hanya menyerahkan kuasa kepada Sulaiman.
Ekoran itu, penunjuk perasaan yang berhimpun sejak awal pagi semalam, mengadakan tunjuk perasaan dengan mendesak kedua-dua Mubarak dan Omar meletakkan jawatan.
Malah, penunjuk perasaan juga berhimpun di depan Istana Ittihadiya dengan hanya kawat berduri memisahkan mereka dengan tentera yang mengawal Istana Presiden.
Sebelum ini, ribuan penunjuk perasaan yang marah keengganan Mubarak berundur mengangkat kasut masing-masing depan skrin besar sebagai tanda bantahan.
Sumber; Berita Harian 12 Februari 2011.
0 comments:
Post a Comment